Nuffnang

Monday, September 6, 2010

Razani Aluminium & Perabot-Encik Razani Bin Ramli

RAZANI BIN RAMLI
  Pengusaha Kilang Perabot & Aluminium

Tanggal 25 Ogos 1966, di hening subuh yang sunyi lahirlah seorang bayi lelaki
yang comel dari pasangan Raunah Che Ismail dan Ramli Salleh. Di saat kelahiran,
timbul sedikit masalah di mana bayi berada dalam keadaan songsang. Namun
akhirnya bayi dapat dilahirkan juga dengan selamat dan sihat. Pasangan tersebut
telah menamakan bayi mereka dengan nama Razani yang dilahirkan sempurna sifat
fizikalnya.

Betapa gembiranya hati seorang ibu yang telah selamat melahirkan anak yang
kelima. Seperti juga anak-anak lain Razani dibesarkan dengan penuh kasih sayang
walaupun mereka bukan dalam golongan orang berada.

Namun semasa Razani berumur tiga tahun, beliau masih lagi tidak dapat menyebut
sepatah perkataan yang lazimnya dapat disebut oleh kanak-kanak lain yang sebaya
dengannya. Beliau juga tidak boleh mendengar. Hal ini menimbulkan tanda tanya
Ibu dan ayah yang mulai bimbang dengan keadaan anak mereka, Razani dibawa ke
hospital untuk diperiksa dan doktor mengesahkan beliau mengalami sedikit
kecacatan iaitu tidak boleh mendengar dan bercakap. Betapa hibanya hati seorang
ibu yang mengandungkannya sembilan bulan sepuluh hari setelah mengetahui hal
tersebut, namun hakikat ini harus diterima dengan hati yang tabah dan
bersyukur. Sesungguhnya Allah Maha Berkuasa dan mengasihi hambanya yang sabar.

Insan mana yang tidak ingin melihat anaknya sempurna dan insan mana yang tidak
mahu melihat anaknya gembira dan lihat seperti kanak-kanak normal yang lain?
Walaupun dengan sedikit kecacatan tidak bermakna beliau tidak diberikan kasih
sayang seperti adik-beradik yang lain, malah beliau diberi lebih perhatian oleh
ayah dan ibu serta saudara mara tercinta kerana beliau dikategorikan dalam
kanak-kanak yang istimewa.

Semasa berumur tujuh tahun, Razani dihantar ke sekolah Kebangsaan Wakaf Mek
Zainab untuk mendapat pendidikan akademik seperti kawan-kawannya yang lain.
Beliau terpaksa bergaul dengan kanak-kanak normal kepada ibu dan bapanya tidak
dapat mengesan sekolah pendidkan khas, selang beberapa bulan kemudian barulah
Razani ditempatkan dengan kanak-kanak khas di sekolah yang sama. Sememangnya
sukar untuk beliau menguasai mata pelajaran yang diajar oleh guru dan agak
sukar juga untuk beliau membaca dan menulis. Beliau terpaksa meluangkan masa
yang lama untuk tujuan tersebut.

Di usia remaja beliau merupakan seorang yang agak agresif dan nakal. Suka
mengganggu kawan-kawan dan suka bergaduh. Namun ketika beliau berumur dalam
lingkungan dua belas tahun, beliau mula belajar solat dan ilmu agama daripada
ibunya. Beliau juga banyak menerima didikan agama daripada kedua orangnya. Pada
peringkat menengah pula beliau telah dihantar ke Sekolah Pendidikan Khas
Tanjung Bunga Pulau Pinang untuk menimba ilmu pengetahuan ke peringkat yang
lebih tinggi. Di sana beliau dikejutkan dengan budaya dan suasana komunikasi
yang agak berbeza. Beliau dapati banyak bahasa isyarat yang mereka gunakan
berbeza dengan bahasa isyarat yang biasa beliau gunakan. Walaubagaimanapun
beliau cuba untuk memahami dan mengambil kesempatan untuk mempelajarinya
daripada mereka. Dalam tempoh tersebut juga beliau banyak menimba pengalaman
dan pengetahuan samada dalam bidang akademik dan pertukangan. Setelah tamat
tempoh empat tahun di sana, beliau balik semula ke Kelantan.

Pada usia 18 tahun, Razani memulakan karier dengan menolong ayahnya menguruskan
kilang tembakau, Sesunggunya sejak kanak-kanak lagi kehidupan keluarga beliau
agak susah dan bapa beliau terpaksa membuat apa saja pekerjaan untuk menampung
keluarga seramai enam orang. Pada tahun 1989 keluarga beliau telah menubuhkan
sebuah kilang perabut dan ingin menyerahkan kepada beliau untuk meguruskannya
namun ditolak kerana alasan yang diberikan beliau tidak cukup pengalaman dan
tidak begitu yakin dengan kebolehannya. Jadi beliau memilih untuk bekerja
sahaja sebagai tukang perabut mulai tahun 1990 di kilang perabut milik
keluarganya yang terletak di Bachok. Dengan cara ini beliau dapat
mempertingkatkan lagi pengetahuan dan pengalaman dalam bidang tersebut. Di sana
jugalah beliau bertemu dengan Azura Mustapha, isterinya yang tercinta. Mereka
mendirikan rumahtangga pada tahun 1993 dan mempunyai 5 orang cahaya mata.

Setelah yakin dengan kebolehannya beliau berhasrat untuk membuka kilang perabut
sendiri berdasarkan pengalaman 15 tahun yang lalu. Pada awalnya ibu dan ayah
tidak yakin dengan kebolehan beliau menguruskan kilang perabut sendiri dan
tidak mendapat sokongan daripada keluarga. Namun berkat usaha dan keyakinan
yang ada dalam diri beliau akhirnya Raza Furniture telah berjaya ditubuhkan
pada tahun 2001, Dengan cara ini beliau dapat buktikan bahawa orang pekak juga
mampu berdikari dan mampu bersaing dengan warga normal. Di samping itu, beliau
juga berhasrat membantu kawan-kawan yang senasib dengannya dengan menyediakan
peluang pekerjaan. Sehingga sekarang sebilangan besar dari pekerjanya terdiri
daripada orang pekak.

Semasa menguruskan perniagaan banyak juga cabaran yang terpaksa beliau hadapi
termasuklah masalah modal tidak mencukupi, masalah komunikasi dan sebagainya.
Walaubagaimanapun berkat usaha gigih beliau di samping mendapat sokongan
daripada keluarga dan rakan-rakan masalah tersebut dapat diatasi. Dengan
kebolehen menguruskan perniagaan sendiri beliau bersaing dan berjaya membuka
mata masyarakat bahawa orang pekak boleh maju.

Sesungguhnya beliau merupakan seorang yang berpandangan jauh ke depan dan
sentiasa memikirkan kemajuan diri. Sehinggalah tercetus idea beliau untuk
membuka kilang aluminium yang akan bergabung dengan perabut atas nama Sendirian
Berhad. Dengan cara ini beliau dapat membesarkan lagi perniagaan yang dirasakan
tidak cukup untuk bergelar usahawan yang berjaya. Dengan sokongan Keluarga dan
kawan-kawan beliau berjaya menubuhkan Syarikat Razani Capital & Resources (M)
Sdn Bhd yang beroperasi di Kampung Tapang pada awal Mei 2003. Dengan ini
memberi peluang kepada beliau menimba lebih banyak pengalaman dan melangkah
lebih jauh lagi dalam dunia perniagaan. Di samping itu dapat menyediakan lebih
banyak peluang pekerjaan kepada orang pekak.

Selain dari menguruskan kilang, beliau juga aktif bersukan. Salah satu sukan
yang sangat diminatinya ialah sukan tenpin boling dan bola sepak. Pada masa
lapang beliau selalu menghabiskan masa di Perdana Superbowl atau di padang bola
sepak bersama kawan-kawan yang lain. Razani juga memikul tanggungjawab sebagai
Presiden Persatuan Orang Cacat Pendengaran Negeri Kelantan sejak ia ditubuhkan
pada tahun 1996 sehingga sekarang dan selaku Bendahari Persekutuan Orang Pekak
Malaysia bagi sesi 2002 hingga 2004. Begitu banyak jasa beliau dalam
membangunkan persatuan dan menjaga kebajikan orang yang senasib dengannya.
Sesungguhnya beliau tidak mengharapkan apa-apa balasan dan hanya menjalankan
tanggungjawab dengan jujur dan ikhlas.

Kini segala usaha beliau telah banyak membuahkan hasil, alhamdulillah. Dengan
usaha dan kegigihan yang tidak kenal putus asa tidak mustahil suatu hari nanti
Razani akan tampil ke depan sebagai usahawan yang berjaya. Insyallah. (Sumber:
Cik Noor Haseken P Rameli)

No comments:

Post a Comment