Nuffnang

Tuesday, June 30, 2009

Apperentic Fitec

Barisan Belakang Dari Kiri:Ku Rahim,Hanafi,Mail,Azrul Azraai,Aidil
Barisan Depan Dari Kiri:Helmi,En.Wais,Puan,Ibut

Tuesday, June 2, 2009

Strategi Bagi Mengantarabangsakan Perabot Usahawan Bumiputera



Oleh Cik Rashidah Abd Ghani

KUALA LUMPUR, 24 Julai (Bernama) -- Nilai eksport perabot Malaysia bagi 140 negara di dunia mencatatkan jumlah melebihi RM8 bilion pada tahun lepas dengan jangkaan melampaui RM10 bilion pada tahun 2010.

Namun peratusan daripada pengusaha perabot bumiputera adalah begitu kecil sekali.

Bayangkan dengan perkembangan yang begitu pesat dan semakin mencabar, pembabitan pengusaha bumiputera dalam pengeksportan perabot hanyalah dalam lingkungan dua peratus sahaja.

Walaupun secara relatifnya usahawan perabot bumiputera menguasai hampir 20 peratus pasaran tempatan, namun kebanyakan pasaran datangnya daripada kontrak yang telah diberikan oleh kerajaan.

Antara punca terjadinya perkara ini ialah ketiadaan kepakaran teknologi dan pengetahuan bagi menghadapi saingan dalam industri ini, demikian menurut pendapat Professor Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka UiTM Kelantan, Prof Madya Dr Marzuki Ibrahim kepada Bernama.

Akibat daripada kelemahan ini, hampir kesemua aktiviti ini sama ada industri hiliran atau huluan telah dimonopoli oleh kaum bukan bumiputera.

KETINGGALAN ASPEK REKA BENTUK

Faktor keduanya ialah tiadanya rantaian nilai dalam industri ini mengakibatkan mereka tidak dapat bersaing sama ada dalam pasaran terbuka mahupun pasaran eksport.

Selain aspek pemasaran, pengusaha perabot bumiputera juga ketinggalan dalam aspek reka bentuk kerana perabot yang dihasilkan mereka hanyalah melalui "proses segera', jelas Dr Marzuki lagi.

Ini dilakukan melalui pengubahsuaian reka bentuk perabot luar negara yang diperolehi daripada sumber-sumber seperti majalah, katalog mahupun melalui lawatan ke pameran perabot .

Akibatnya, reka bentuk perabot yang dihasilkan mereka bermutu rendah dan dikategorikan di bawah pasaran perabot kos rendah.

Berdasarkan kepada senario ini, beliau berkata, kerajaan melalui MARA telah menetapkan sasaran sebanyak lima peratus pertumbuhan perabot bumiputera dalam tempoh lima tahun RMK-9.

Beberapa langkah dan strategi bagi memantapkan lagi kedudukan pengusaha bumiputera juga disarankan melihat kepada pasaran-pasaran baru yang lain seperti Eropah yang mempunyai pasaran perabot melebihi RM50 bilion untuk diterokai.

PERKEMBANGAN INDUSTRI

Sejarah pengeluaran dan pengeksportan perabot di Malaysia bermula agak perlahan dengan pertumbuhan kilang kecil-kecilan pada lewat 1970-an.

Industri perabot Malaysia hanya memasuki era eksport pada pertengahan tahun 1980-an dengan eksport berjumlah RM25 juta pada tahun 1985, kata Marzuki.

Eksport perabot Malaysia terus berkembang maju dengan mencatat jumlah eksport sebanyak RM1.228 bilion dan bertambah hampir RM1 bilion setiap tahun.

Sebagai contoh, jumlah eksport mencatatkan RM2.078 bilion pada 1995, RM3.094 bilion (1997), hampir RM5 bilion (1999), melebihi RM5 bilion (2000), RM7.67 bilion (2005) dan meningkat ke paras tertinggi sebanyak RM8.19 bilion pada tahun 2006, katanya.

Eksport perabot Malaysia dijangka berkembang antara tujuh dan sembilan peratus setiap tahun.

Sehingga akhir 2005, Amerika Syarikat masih lagi menjadi pengimport perabot Malaysia yang terbesar dengan jumlah sebanyak 33.5 peratus. Ia disusuli Jepun (10.25 peratus) dan United Kingdom (8.85 peratus).

PROSPEK CERAH

Mengenai jenis perabot pula, Marzuki berkata, rekod menunjukkan 81.41 peratus datangnya daripada perabot kayu terutama kayu getah diikuti logam (12.30 peratus), manakala perabot rotan hanya menyumbang sebanyak 0.65 peratus daripada keseluruhan eksport perabot negara.

Prospek industri perabot adalah cerah walaupun Malaysia terpaksa bersaing dengan negara jiran yang lain seperti Thailand, Indonesia, Filipina, Vietnam mahu pun China.

Seperti Malaysia, negara-negara berkenaan juga berusaha mempergiatkan aktiviti mereka dengan meneroka dan terus mencari pasaran baru.

Bagi Malaysia usaha yang berterusan sedang dilaksanakan bagi mencari pasaran baru seperti di Amerika Selatan dan Amerika Utara dan beberapa pasaran mewah yang khusus.

PAMERAN ANTARABANGSA

Sejajar dengan hasrat mengantarabangsakan perabot bumiputera, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kelantan dan agensi MARA, Furniture Industry Technology Centre (FITEC) akan menganjurkan satu Pameran Persidangan Perabot Antarabangsa 2008 yang pertama di Malaysia (2008ifcx).

Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan merasmikan pameran itu yang bermula dari 28 hingga 30 Julai manakala Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Noh Omar akan melakukan penutupannya.

Kira-kira 500 peserta dari dalam dan luar negara dijangka menghadirinya. Bertemakan mengantarabangsakan reka bentuk perabot, ia akan mengutarakan dua faktor asas bagi pengeluar perabot Malaysia bersaing di peringkat antarabangsa iaitu reka bentuk dan pemasaran.

Dua penceramah terkemuka, Karim Rashid (seorang pereka perabot terkenal dunia) akan mengupas mengenai kepentingan reka bentuk berkualiti manakala Dr Stefan Wille dari Aktrin Furniture Information Centre akan membincangkan secara terperinci mengenai strategi pemasaran.

Selain itu, 56 kertas kerja hasil penyelidikan oleh pembentang dari dalam dan luar negara dan pameran akan diadakan.

Diharapkan pameran itu dapat memenuhi aspirasi kerajaan yang mahukan perabot keluaran Malaysia dikenali di seluruh dunia dengan memenuhi standard rekaan antarabangsa dan dapat bersaing dalam pasaran antarabangsa yang begitu kompetitif, kata Dr Marzuki.

-- BERNAMA(dipetik dari http://web6.bernama.com/client/mecd/newsbm.php?id=348096)